Saturday, July 4, 2015

Pasar Awam Batu Pahat dibangun semula.

Sumber daripada ~ http://m.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/pasar-awam-batu-pahat-dibangun-semula-1.109097

BATU PAHAT 30 Jun - Pasar awam Batu Pahat yang terletak di Jalan Pasar, di sini bakal dibangunkan semula melibatkan kos kira-kira RM6 juta seperti yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatan kerjanya pada 2011.
Pembangunan semula pasar tersebut yang sepatutnya dimulakan beberapa tahun lalu itu tertangguh disebabkan beberapa perkara termasuk halangan daripada sebahagian pemborong yang tidak mahu berpindah ke lokasi baharu yang siap dibina pada Mei 2012.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Mahadon Marnin berkata, kerja-kerja pembinaan pasar awam baharu di lokasi sama yang lebih moden dan selesa kepada peniaga dan orang ramai dijangka bermula pada Ogos ini.
“Kerja-kerja pembinaan yang dianggarkan memakan masa selama 18 bulan itu akhirnya dapat dimulakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 12 Mei lalu memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan perintah Mahkamah Tinggi Muar.
“Mahkamah Tinggi Muar pada 6 Ogos 2013 telah menangguhkan arahan perpindahan melalui injuksi exparte yang dimohon oleh sebahagian pemborong sayur yang tidak bersetuju,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MPBP, di sini semalam.
Pasar awam sedia ada yang berusia lebih 50 tahun itu mengalami pelbagai masalah termasuk kebocoran pada bumbung dan paip air, parit tersumbat sehingga menimbulkan bau busuk, menyebabkan kesesakan lalu lintas dan masalah pendawaian elektrik.
Mengulas lanjut, Mahadon berkata, keputusan Mahkamah Rayuan itu membolehkan MPBP menyampaikan notis bertarikh 9 Jun lalu kepada 63 pemborong sayur dan 39 pemborong ikan berpindah segera.
“Bagaimanapun, tiada tindakan diambil oleh pemborong terbabit untuk berpindah ke Pasar Borong Kota Murni seperti yang diarahkan. Maka, MPBP akan menguatkuasakan perpindahan tersebut mulai Jumaat ini.
“Bagi 239 peniaga runcit di pasar awam itu pula, notis dikeluarkan pada Isnin lalu yang menyatakan mereka perlu berpindah ke pasar sementara yang siap disediakan berdekatan pasar sedia ada sebelum 21 Julai ini, iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri untuk memudahkan orang ramai membeli barang ke­perluan menjelang perayaan nanti,” katanya.

‪#‎MetropolisBP‬ ‪#‎BP‬ ‪#‎BatuPahat‬ ‪#‎Penggaram‬ ‪#‎PasarBP‬ ‪#‎TinggalKenangan‬

Sumber daripada ~ http://m.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/pasar-awam-batu-pahat-dibangun-semula-1.109097
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...